FEBRUARI 2024

Tanah Dibayar Pampasan Berdasarkan Penilaian JTS


KUCHING: Kerajaan Sarawak fokus kepada pembangunan luar bandar supaya penduduknya dapat meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, kata Timbalan Premier Sarawak.

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, oleh sebab itu, pembangunan infrastruktur asas seperti elektrik, air dan jalan raya perlu dilakukan secara berterusan dan berfasa.

“Jalinan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sarawak memudahkan lagi pelaksanaan program pembangunan di negeri ini,” katanya pada majlis penyerahan cek pampasan tanah bagi pengambilan balik tanah untuk projek pembangunan pengangkutan awam dan aliran rapid autonomous (ART) – Sungai Batu Depot.

Seramai 70 penerima membabitkan jumlah pampasan RM23,425,726.90 pada majlis itu.

Dalam melaksanakan pembangunan, katanya, pengambilan tanah adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam.

Awang Tengah menegaskan, Kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ia melibatkan tanah berhakmilik atau tertakluk tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur untuk kepentingan awam dan demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna. 

Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, tambahnya.

Dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang, kata beliau.

Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dan pampasan itu akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa, katanya.